Menjalankan perniagaan merupakan satu perkara yang mencabar dan terkadang banyak isu yang timbul kerana tiada tunjuk ajar dan pengalaman. Dalam membantu industri sebegini, Alliance Bank, dengan kerjasama beberapa syarikat termasuklah Cradle, TM, dan Microsoft telah hadir dengan SME Innovation Challenge 2014 yang menawarkan kursus latihan serta hadiah wang tunai sehingga RM600,000 buat 20 startup yang terpilih.
Untuk menyertainya, peserta yang mempunyai syarikat yang telah beroperasi kurang dari 3 tahun perlu memuat naik maklumat syarikat serta perancangan mereka pada laman web BizSmart. 20 syarikat akan disenaraipendek dan terpilih untuk menyertai siri kursus latihan bersama tokoh korporat antaranya CEO dari SP Setia, Leaderonomics dan JobsDB, Pengurus Besar Microsoft Malaysia dan akan turut menerima hebahan media dari radio dan juga media cetak.
Dari 20 syarikat yang disenaraipendek, 5 syarikat terbaik akan dipilih untuk melalui pitching terakhir dengan panel juri. Antara hadiah yang ditawarkan termasuklah:
- Hadiah Utama: Tan Sri Liew Kee Sin Entrepreneurship Award – RM 250,000
- Hadiah Kedua: RM 150,000
- Hadiah Ketiga: RM 100,000
- 1 dari 20 syarikat berpeluang memperoleh Anugerah Teknologi dari Microsoft: RM 100,000
Permohonan telah dibuka dari 5 Julai 2014 sehingga 10 Ogos 2014 dan sekiranya syarikat startup anda memerlukan suntikan dana mahupun hebahan media, maka program ini pastinya memenuhi keperluan anda.