Google sedia menyediakan sebuah halaman khas untuk para pembangun Android, dalam mengetahui angka taburan semasa penggunaan sistem operasi Android. Kini, pihak Apple turut sama mengikuti cara Google, dan memperlihatkan angka penggunaan peranti dengan platform iOS.
Apple kelihatan menggunakan pendekatan yang sama, berkemungkinan untuk memperlihatkan pengguna peranti berasaskan iOS lebih dahulu mendapat kemaskini untuk platform terkini mereka. Daripada apa yang diperlihatkan, sebanyak 93% pengguna sedia menggunakan versi terkini iOS, sementara jikalau dibandingkan dengan Android, angka pengguna yang menggunakan Android 4.2.2 Jelly Bean masih lagi jauh ketinggalan.
Memandangkan Apple membangunkan sendiri peranti dan sistem operasi mereka, maka sebaik sahaja sesuatu versi tersedia, mereka terus mengeluarkan kemaskini kepada semua pengguna mereka. Mereka juga dengan mudah dapat mengoptimasikan sesuatu fungsi untuk sesuatu peranti. Selain itu, Apple juga tidak memperkenalkan beberapa perkara pada peranti yang telah diperkenalkan untuk beberapa tahun.
Buat masa ini, mereka sedang dalam proses membangunkan iOS 7, dimana versi betanya telah sedia digunakan oleh ramai pembangun seluruh dunia. Melalui iOS 7, pihak Apple membawakan perubahan dari segi antaramuka, disamping turut menyertakan beberapa fungsi yang dinantikan ramai, seperti Control Center dan beberapa yang lain.
Apple juga turut yakin angka penggunaan iOS 7 akan terus meningkat dengan mendadak, sebaik sahaja versi iOS 7 diperkenalkan kepada umum kelak.