Quantcast
Channel: Videos - Amanz
Viewing all 30186 articles
Browse latest View live

Perbandingan Xiaomi Mi CC9, Xiaomi Mi 9T Dan Realme X


Linux Mint 20 Dan Versi Seterusnya Tidak Akan Lagi Menyokong Sistem Berasaskan 32-Bit

$
0
0

Pembangun utama Linux Mint pada hari ini telah mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan pembangunan berasaskan 32-bit bermula Linux Mint 20. Langkah ini selari dengan pengumuman Canonical yang turut tidak lagi menyokong pengkomputeran 32-bit pada Ubuntu 19.10 dan Ubuntu 20.04 LTS. Untuk makluman, Linux Mint (versi standard) merupakan salah satu distro yang dibina berasaskan versi pembangunan Ubuntu terkini.

Melalui perkongsian daripada blog Linux Mint, langkah ini pastinya akan menerima sokongan daripada banyak pihak, kerana komputer berasaskan 32-bit hanya berada dalam kuantiti yang kecil. Komputer berasaskan 64-bit mula digunakan pada tahun 2003, dan pada hari ini, kebanyakan komputer di pasaran telah pun tersedia dengan sokongan 64-bit.

Pembangun Linux Mint juga ada menyentuh mengenai pakej 32-bit, yang mana ia akan turut disertakan di dalam Linux Mint 20 berdasarkan langkah daripada Canonical. Pada minggu lalu, Canonical telah mengumumkan sejumlah pakej 32-bit terpilih akan disertakan pada Ubuntu 19.10, sekaligus membolehkan komputer menjalankan perisian yang memerlukan komponen 32-bit.

Sekiranya anda menggunakan Linux Mint pada komputer yang tidak menyokong 64-bit, anda boleh menggunakan Linux 19.0, 19.1, 19.2, atau 19.3 sehingga tahun 2023. Selepas daripada jangka masa ini, anda disarankan untuk beralih ke sistem operasi alternatif lain atau membuat penaik-tarafan komputer untuk menikmati sokongan yang lebih terkini.

Broadcom Dilaporkan Sedang Dalam Perbincangan Untuk Mengambil-Alih Symantec

$
0
0

Symantec merupakan salah satu syarikat sekuriti siber yang popular dan digunakan ramai pengguna sebagai penyelesaian sekuriti dan antivirus mereka. Kini, ia dilaporkan yang mana pengeluar cip popular Broadcom sedang dalam perbincangan untuk mengambil-alih Symantec.

Broadcom pada hari ini menawarkan pelbagai produk semikonduktor yang digunakan secara meluas pada pusat data, rangkaian mudah-alih, storan dan sebagainya. Pengambil-alihan firma sekuriti akan mengukuhkan lagi penawaran mereka, sekaligus memberikan kelebihan kepada mereka dari segi penawaran perisian.

Bercakap mengenai pengambil-alihan seumpama ini, sebelum ini Intel pernah mengambil-alih McAffee, namun seterusnya mereka mengasingkan kembali syarikat sekuriti berkenaan.

Buat masa ini, pihak Broadcom atau Symantec masih belum mengeluarkan sebarang komen rasmi berkaitan perkara ini.

Hong Leong Berkongsi Statistik Pelanggan Mereka – 64.4% Pengguna Telah Memanfaatkan Platform Perbankan Digital

$
0
0

Hong Leong Bank Berhad (HLB) pada hari ini mendedahkan penggunaan pelanggan terhadap platform digital pada ketika ini sangat memberangsangkan. Menerusi pengamatan HLB, tumpuan pelanggan terhadap platfom ini mula berterusan untuk memacu penggunaan nirtunai menjadi lebih maju. Dengan adanya kemudahan pada ekosistem nirtunai ini sekaligus memberi kejayaan kepada penggunaan transaksi digital pada pelanggan dan perniagaan.

Untuk makluman anda, sebanyak 64.4% pelanggan kini menggunakan platform digital dan mudah alih untuk urus niaga perbankan pada akhir tahun 2018. Purata penggunaan tersebut telah meningkat lebih daripada 20% sejak dari tahun lepas lagi.

Pihak bank dilihat berperanan dalam meningkatkan usaha ini, terutama dalam menyelesaikan masalah kewangan untuk pelanggan mereka. Sama ada pengguna harian atau pemilik perniagaan melalui transformasi digital dan inovasi. Tumpuan untuk memberikan penyelesaian yang mudah dan lancar kepada para pelanggan telah berjaya memacu pertumbuhan yang ketara dalam perlaksanaan transaksi nirtunai ini.

Kebiasaanya kita dapat lihat pengguna muda khususnya gemar akan teknologi ini. Secara tidak langsung pihak Hong Leong Bank (HLB) dapat melihat nilai urus niaga purata yang semakin meningkat pada tahun ini, disamping dapat meningkatkan kepercayaan pengguna kepada program penyelesaian ini.

Pengguna juga semakin sedar bahawa transaksi nirtunai adalah tentang kemudahan yang baik untuk mereka memantau perbelanjaan sendiri. Faedah yang dimiliki bukan sekadar merangkumi pengurangan penggunaan tunai, malah selamat untuk digunakan. 

Aruba Instant On Ingin Memberi Penyambungan Wi-Fi Yang Mudah Dan Selamat Kepada Syarikat Perniagaan

$
0
0

Aruba yang merupakan anak syarikat Hewlett Packard Enterprise telah mengumumkan produk terbaru mereka iaitu Aruba Instant On. Ia merupakan produk berasaskan nirwayar yang direka untuk menampung kapasiti dan pertumbuhan Wi-Fi bagi kegunaan perniagaan.

Untuk makluman anda, produk ini direka untuk menawarkan sambungan nirwayar yang selamat dan berkelajuan tinggi tanpa dikekang daripada sebarang masalah. Ia juga memastikan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dapat dihubungkan ke rangkaian yang lebih selamat, selain memastikan mereka kekal berhubung walaupun mempunyai angka penggunaan yang tinggi pada rangkaian Wi-Fi.

Dengan penggunaan Aruba Instant On ini, ia dapat mengurangkan kebimbangan PKS dalam memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan untuk menyampaikan pengalaman pelanggan yang lebih lancar dan berkesan. Produk ini dilihat mempunyai teknologi 802.11ac Wave 2, selain menyertakan sejumlah fungsi perusahaan dalam menyediakan fleksibiliti untuk memenuhi keperluan perniagaan. Instant On juga mempunyai ciri-ciri:

  • Aplikasi mudah alih yang mudah dan intuitif untuk penyediaan.
  • Dua mod pengurusan melalui aplikasi mudah alih atau portal web berasaskan awan.
  • Keupayaan keselamatan terbaik dalam kelas, termasuk pematuhan dengan protokol pengesahan terbaru seperti WPA2 / WPA3.
  • Teknologi Pintar Mesh untuk memudahkan pengembangan rangkaian ke kawasan yang mempunyai halangan.
  • Boleh dipasang pada dinding, siling, atau melalui meja desktop untuk memenuhi pelbagai persekitaran perniagaan kecil.

Pengenalan Aruba Instant On ini sekaligus memberikan PKS keupayaan untuk penyelesaian nirwayar yang boleh diurus serta dikawal oleh orang yang tidak berteknologi dan bukan dari mana-mana peranti mudah alih.

Set pertama Aruba Instant On AP ini akan bermula pada awal bulan Julai, dengan harga senarai bermula pada USD119.00 (RM492.73). Untuk mengetahui maklumat lanjut, anda boleh layari pada pautan dibawah.

Layari: Aruba Networks

GrabRewards Kini Hadir Dengan Sistem Mata Ganjaran – Membolehkan Pengguna Menebus Pelbagai Hadiah Menarik

$
0
0

Baru-baru ini, Grab telah mengumumkan peningkatan kepada program GrabRewards untuk menawarkan lebih banyak keseronokan, fleksibiliti dan pemilihan yang lebih besar. Selaras dengan komitmennya untuk menyediakan pengguna Grab dengan lebih banyak nilai dan kemudahan penambahan ini akan membolehkan pengguna mendapatkan lebih banyak mata ganjaran GrabRewards.

Melalui Grab, pengguna dapat meraih pebagai faedah. GrabRewards telah dipertingkatkan dengan direka bentuk berdasarkan pengalaman pengguna berasaskan penggunaan perkhidmatan. Untuk makluman anda, bermula 1 Julai ini GrabRewards telah tampil dengan ciri inisiatif baharu iaitu:

Mata Ganjaran – GrabRewards yang tiada tarikh luput

Melalui inisiatif terbaharu daripada pihak Grab, mata ganjaran GrabReward ini tidak akan mempunyai tarikh luput. Di mana selaku pengguna yang sentiasa membuat transaksi Grab untuk mana-mana perkhidmatan Grab, mata ganjaran tersebut akan kekal dalam tempoh 3 bulan dari transaksi terakhir mereka.

Ganjaran Eksklusif untuk Setiap Tahap

Anda kini boleh mengumpulkan lebih banyak mata GrabRewards, malah turut dapat menebus eksklusif keistimewaan dari katalog, termasuk PlayStation 4 Pro, Siri Watch Apple 3, Beats Wireless Headphones, baucar beli-belah dan penebusan/baucar khas seperti RM5 dari The Coffee Bean & Tea Leaf untuk 200 mata dan banyak lagi. Untuk penebusan yang mampu dibayar sehari-hari, Katalog GrabRewards kini akan menampilkan Ganjaran Eksklusif untuk semua peringkat pelanggan, sehingga 31hb.

Kemas kini Ciri Lain

Bermula 1 Oktober, pengguna Grab akan memperolehi sehingga 3 mata GrabRewards untuk setiap RM1 yang dibelanjakan bagi semua perkhidmatan Grab. Ia bergantung pada tahap keahlian masing-masing. Untuk masa yang terhad sehingga 31 Disember 2019, pengguna juga akan dapat menikmati sehingga 3x lebih GrabRewards Points apabila menggunakan GrabPay untuk pembayaran pada aplikasi.


GrabRewards adalah program yang memberi ganjaran kepada pengguna bagi setiap hari urusniaga. Pengguna boleh mendapatkan mata GrabRewards pada semua perkhidmatan Grab, termasuklah pengangkutan, penghantaran (makanan dan bungkusan), pembayaran mudah alih dan banyak lagi.

Dengan empat tahap berbeza – Ahli Perak, Emas, dan Platinum – pengguna boleh meningkatkan tahap keahlian dengan menggunakan aplikasi Grab setiap hari, di untuk menikmati lebih banyak kelebihan termasuk mempercepatkan mendapatkan mata ganjaran diskaun, baucar bulanan dan peruntukan keutamaan. Untuk maklumat lanjut mengenai GrabRewards, sila layari pautan dibawah.

Layari: GrabRewards

YTL Menzahirkan Rasa Sangsi Mengenai Penukaran Pelantar Pembelajaran Frog VLE Oleh Menteri Pendidikan

$
0
0

Pada minggu lepas, kami ada melaporkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia telah hadir dengan sebuah pengumuman bahawa 10,000 sekolah dibawah projek sekolah 1BestariNet oleh YTL akan diambil alih oleh Celcom, Maxis dan Telekom Malaysia sehingga hujung tahun 2019, dimana kerajaan akan memilih pembekal baru untuk projek sekolah digital pada tahun 2020.

Projek 1BestariNet yang dikendalikan oleh syarikat YTL melalui syarikat telekomunikasi Yes menggunakan pelantar pembelajaran Frog VLE, dan menurut kicauan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik, akan ditukarkan kepada Google Classroom menjelang bulan ini.

Pihak YTL kini hadir dengan kenyataan akhbar dimana mereka menzahirkan rasa kecewa kerana projek 1BestariNet tersebut, yang diterajui oleh mereka sejak tahun 2011 selama tujuh tahun kini akan ditukar terus tanpa mengambil kira projek tersebut, yang sepatutnya kini memasuki fasa ketiga dan terakhir.

Menurut YTL, mereka sudahpun melengkapkan dua daripada tiga fasa yang dirancang, dan pada penghujung fasa ketiga, pada awal tahun 2019 akan membolehkan tenaga pengajar dan juga para pelajar untuk membiasakan diri mereka dengan cara pengajaran dan pembelajaran digital.

Mereka juga mengatakan bahawa Frog VLE kini mempunyai kandungan pendidikan yang menuruti silibus semua matapelajaran dari Darjah 1 hingga Darjah 5 untuk semua jenis sekolah rendah. Pelantar digital tersebut juga mempunyai 7 juta soalan kuiz yang boleh dikongsi oleh para guru dan pelajar.

Bukan itu sahaja, untuk penyeliaan sambungan Internet kepada sekolah-sekolah 1BestariNet ini, YTL juga berkata mereka telah dipinggir oleh pihak kerajaan, dan tiada penjelasan mengapa diberikan. YTL berkata mereka sebelum ini telah dipanggil bersama-sama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi yang lain, tetapi kenyataan terbaru Maszlee Malik telah menyebabkan kekeliruan oleh pelbagai pihak.

Komputer Riba Gaming Aero 15 Classic Akan Memasuki Pasaran Tempatan – Harga Bermula RM6999

$
0
0

Siri komputer riba gaming GIGABYTE Aero 15 Classic, yang diperkenalkan di acara COMPUTEX Taipei nampaknya akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi. GIGABYTE Malaysia akan membawa masuk beberapa jenis model komputer riba tersebut dengan spesifikasi dalaman dan juga ciri paparan yang berbeza.

Bermula dengan spesifikasi dalaman, Aero 15 ini dilengkapi oleh CPU Intel Core i7-9750H, bersama-sama dengan pilihan memori DDR4 sebanyak 16GB dan 32GB dan storan SSD PCIe NVMe Intel 760p sebesar 512GB.

Bergantung kepada corak penggunaan, pengguna juga boleh memilih untuk mendapatkan model Aero 15 Classic dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1660Ti, NVIDIA GeForce RTX 2060, NVIDIA GeForce RTX 2070 ataupun NVIDIA GeForce RTX 2080.

Dari segi paparan pula, Aero 15 Classic hadir dengan paparan bersaiz 15.6 inci hampir nirbingkai dengan resolusi dan kadar segar semula yang berbeza. Pengguna boleh memilih untuk mendapatkan model dengan paparan beresolusi Full HD 144Hz, Full HD 240Hz ataupun paparan dengan resolusi 4K.

Tanda-tanda harga untuk komputer riba GIGABYTE Aero 15 Classic ini adalah seperti berikut:

  •  GIGABYTE Aero 15 Classic SA FHD 144Hz (NVIDIA GTX 1660Ti) : RM6999
  • GIGABYTE Aero 15 Classic WA FHD 144Hz (NVIDIA RTX 2060) : RM8299
  • GIGABYTE Aero 15 Classic WA UHD (NVIDIA RTX 2060) : RM8899
  • GIGABYTE Aero 15 Classic XA FHD 240Hz (NVIDIA RTX 2070) : RM9699
  • GIGABYTE Aero 15 Classic XA UHD (NVIDIA RTX 2070) : RM11699
  • GIGABYTE Aero 15 Classic YA FHD 240Hz (NVIDIA RTX 2080) : RM13999
  • GIGABYTE Aero 15 Classic YA UHD (Intel Core i9-9980HK, NVIDIA RTX 2080) : RM17999

Menurut GIGABYTE Malaysia, pra-tempahan untuk komputer riba GIGABYTE Aero 15 Classic ini boleh dipra-tempah bermula hari ini, dan akan tiba di pasaran tempatan pada 15 Julai kelak.


Meizu Menyasarkan Telefon 5G Pertama Mereka Akan Hadir Pada Tahun 2020

$
0
0

Banyak pengeluar pada saat ini telah menyatakan komitmen untuk menawarkan kebolehan 5G pada peranti mereka. Salah satunya adalah Meizu, yang mana menyasarkan telefon 5G pertama mereka akan hadir kepada pengguna pada tahun 2020.

Ia diperlihatkan melalui pelan perancangan Meizu yang tertiris, dengan menyajikan beberapa jangka masa untuk pengeluaran peranti berasaskan 5G. Apa yang menarik di sini, mereka akan hadir dengan produk sulung dengan 5G pada sekitar suku kedua 2020.

Tahun 2020 bakal memperlihatkan lebih banyak pengeluar akan hadir dengan peranti 5G, selari dengan perlaksanaan infrastruktur 5G yang lebih meluas. Pengeluar cip terkenal seperti Qualcomm dan MediaTek juga dijangka akan meletakkan modem 5G pada cip kelas pertengahan, bagi membolehkan peranti dihasilkan pada kos yang lebih rendah.

Melalui pelan perancangan yang tertiris ini, kita mungkin dapat melihat peranti 5G daripada Meizu pada sekitar bulan April – Jun. Sebarang maklumat mengenai spesifikasi dan rekaan untuk telefon 5G ini masih tidak diketahui, namun dijangka akan menggunakan rekaan berasaskan Meizu 17.

Realme X Kini Hadir Dalam Bentuk Edisi Khas “Spider-Man: Far From Home”

$
0
0

Realme pada sebelum ini telah memperacah beberapa imej promosi yang memperlihatkan sebuah Realme X dengan edisi khas Spider-man. Bersempena dengan tayangan filem Spider-Man: Far From Home, Realme telah melancarkan peranti edisi khas ini secara rasmi dengan sejumlah perkara menarik di dalamnya.

Realme X Spider-Man: Far From Home Edition dilihat hadir dengan rekaan peranti standard, melalui tampilan binaan belakang berwarna putih. Ia turut digarap dengan kemasan berkilau, bagi memberi kesan kilauan yang menarik apabila dipantulkan ke cahaya.

Namun apa yang menarik, Realme turut menyertakan kotak pembelian khas bersama kerangka istimewa yang bertemakan filem ini. Realme juga telah menyertakan sebuah tema khas di dalam peranti ini, yang menyajian imej latar belakang dan ikonografi bertemakan filem Spider-man ini.

Realme X membawakan paparan 6.53-inci AMOLED FHD+, cip Snapdragon 710, memori 8GB RAM, dan storan dalaman 128GB. Untuk sokongan penggambaran, ia menyertakan dwi-kamera belakang 48MP + 5MP, selain menawarkan kamera hadapan 16MP yang boleh dikeluarkan secara automatik. Ia turut dilengkapi kapasiti bateri 3765 mAh dengan sokongan pengecasan VOOC 3.0 berasaskan USB-C.

Realme X Spider-Man: Far From Home Edition akan ditawarkan secara terhad bagi pasaran India bermula 15 Julai ini. Harga jualannya tidak diumumkan, namun dijangka akan berada pada harga jualan Realme X (128GB) di India iaitu Rs. 18,500 (~RM1110).

Google Camera Terkini Pada Android Q Meletakkan ‘Night Sight’ Pada Bahagian Utama Kamera

$
0
0

Semasa Google melancarkan Google Pixel 3, mereka telah memperkenalkan mod malam sendiri untuk Google Camera yang dinamakan ‘Night Sight‘. Ia boleh dikatakan antara yang terhebat, kerana hanya dengan satu lensa dan perisian yang hebat – ia mampu berikan hasil imej yang menakjubkan. Walau bagaimanapun, ia masih tidak dapat menandingi mod malam pada Huawei P30 Pro.

Akan tetapi, untuk menggunakan mod malam Google ini – pengguna perlu membuka aplikasi kamera dan pergi ke bahagian ‘More‘. Ia agak melecehkan, lebih-lebih lagi kepada pengguna yang kerap menggunakan fungsi ini. Terkini, dalam aplikasi Google Camera 6.3 dalam Android Q Beta terkini – ‘Night Sight’ telah dikeluarkan dari bahagian ‘More’ dan diletakkan pada bahagian utama aplikasi kamera.

Dengan tindakan sebegini, ia akan lebih memudahkan pengguna. Akan tetapi, adalah lebih baik jika Google sertakan kemampuan untuk mengubah susun atur fungsi-fungsi kamera dalam Google Camera – mengikut cita rasa pengguna tersendiri seperti peranti Samsung.

Xiaomi Melancarkan Redmi K20 Pro Edisi Marvel Heroes Bagi Memperingati Adiwira-Adiwira Marvel

$
0
0

Redmi K20 Pro adalah peranti mercu baharu daripada sub-jenama Xiaomi yang memfokuskan prestasi dan harga jualan yang murah. Ia hadir dengan Snapdragon 855, memori 6/8 GB RAM dan storan dalaman dari 64GB sehingga 256GB. Peranti ini boleh dikatakan adalah pengganti kepada Pocophone, kerana ia dikategorikan sebagai peranti mercu yang murah.

Terkini, Xiaomi telah melancarkan satu variasi edisi khas buat peranti ini – Redmi K20 Pro Edisi Marvel Heroes. Ia dilancarkan bagi memperingati adiwira-adiwira Marvel, atau lebih lagi dalam MCU yang terkorban dalam Avengers: Endgame. Peranti ini hadir dengan kotak yang cantik, plat besi ‘Avengers: Endgame’, kerangka berwarna biru dan juga gambar latar Iron Man (berdasarkan poster).

Click to view slideshow.

Untuk Redmi K20 Pro Marvel Heroes ini, ia hadir dengan panel belakang yang mirip dengan logo Iron Man dengan tema warna hitam/kelabu. Lain-lain spesifikasi buat peranti ini adalah, skrin bersaiz 6.39-inci Super AMOLED, pengimbas cap jari bawah skrin, tri-kamera, bateri 4000mAh dan pengecasan pantas 27W.

Redmi masih tidak mengumumkan harga jualan dan tarikh jualannya, tetapi ada kemungkinan besar ia akan jual sedikit mahal daripada variasi 8/256 GB – RMB2,799 (~RM1683).

Sumber: [1], [2]

Pengguna Apple HomePod Berang Dengan Iklan AirPods Yang Menyebut ‘Hey, Siri’

$
0
0

Apple HomePod adalah pembesar suara pintar Apple dengan Siri terbina. Ia adalah seakan Google Home daripada Google. HomePod juga seperti Google Home, menyokong seruan pembantu maya dengan kata kunci tertentu. Jika Google adalah ‘Hey, Google’ – Apple adalah ‘Hey, Siri’. Terkini, pengguna Apple HomePod membuat aduan kepada Apple terhadap iklan Apple AirPods yang menyebut ‘Hey, Siri’.

Anda boleh tonton iklan dengan ‘Hey, Siri’ di sini

Mereka semua berang dengan iklan ini, kerana ia mengaktifkan HomePod mereka dan memainkan muzik yang tidak diingini mereka. Mungkin pengguna Apple masih tidak biasa dengan seruan pembantu maya sebegini. Ini kerana, Google Assistant yang mana antara pembantu maya yang terhebat – telah lama menghadapi masalah ini.

Malah, apabila Google melancarkan sesuatu produk atau iklan – jika ada perkataan ‘Hey, Google’, sudah ramai yang tidak begitu hiraukan jika Google Assistant aktif dengan sendiri. Malah ada sahaja pengguna yang ketawa kerana ia dianggap lucu. Oleh yang demikian, Apple telah hadir dengan iklan baharu – tanpa perkataan ‘Hey, Siri’ disebut di YouTube’. Anda bagaimana? Adakah apabila anda tonton iklan AirPods ini, Siri anda aktif tanpa sengaja?

Funding Societies Melancarkan Program Pembiayaan Dana Untuk Membantu Peniaga Kecil Di Lazada

$
0
0

Baru-baru ini, Funding Societies Malaysia telah mengumumkan kerjasama mereka bersama Lazada Malaysia bagi menawarkan pembiayaan jangka pendek – untuk e-dagang kepada peniaga dibawah platform Lazada. Pelaksanaan ini bagi meningkatkan sektor perniagaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) tempatan.

Wujudnya tawaran sedemikian, secara tidak langsung dapat menghubungkan PKS bersama pelabur industri pada pasaran atas talian dalam platform Lazada ini. Ia juga secara terus dapat mengurangkan jurang pembiayaan dana bagi PKS untuk mengembangkan keperluan operasi perniagaan mereka.

Melalui pelaksanaan kerjasama ini, platform Lazada Malaysia dapat membuka peluang yang tinggi kepada perniagaan atas talian untuk menempatkan pelbagai produk mereka dalam e-dagang. Antara kelayakan yang telah dikongsikan oleh Funding Societies Malaysia adalah:

Pembiayaan dana  pada platform e-dagang ini dilihat telah meningkat dengan memperolehi sebanyak 500 permohonan dana daripada PKS. Untuk anda yang berminat untuk membuat sebarang permohonan pembiayaan perniagaan ini, anda bolehlah layari pada pautan dibawah.

Funding Societies Malaysia

Lenovo Z6 Kini Rasmi – Snapdragon 730, Skrin OLED HDR10+ Dan Tri-Kamera

$
0
0

Lenovo tahun ini diihat agak aktif dengan mempromosikan peranti mereka Lenovo Z6 Pro. Namun, peranti itu sedikit mahal kerana ia adalah peranti mercu dengan kamera ‘hebat’ serta spesifikasi yang berkuasa. Oleh yang demikian, Lenovo turut hadir dengan beberapa variasi lain seperti Lenovo Z6 Lite dan yang terkini Lenovo Z6.

Lenovo Z6 dijana dengan Snapdragon 730 yang dipadankan dengan pilihan RAM 6GB atau 8GB dan storan dalaman dari 64GB atau 128GB. Skrin peranti ini bersaiz 6.39-inci daripada OLED dan turut mempunyai pengiktirafan HDR10+. Apa yang menarik dengan skrin Lenovo Z6 adalah ia menggunakan takuk kecil, tetapi hampir tiada dagu – jadi ia kelihatan sedikit unik.

Untuk kamera, Lenovo menggunakan tri-kamera yang menggabungkan lensa 24MP + 8MP lensa telefoto untuk zoom + 5MP lensa kedalaman. Untuk kamera swafoto pula, ia menggunakan lensa 16MP dengan sokongan rakaman HDR. Lenovo memuatkan saiz bateri 4000mAh yang dikatakan mampu bertahan selama 7.6 Jam bermain permua tanpa henti. Akan tetapi, pengecsannya hanya terhad kepada 15W yang agak perlahan.

Rekaan peranti ini dilihat agak premium dan kemas. Ia menggabungkan bahan binaan kaca 3D dan aluminium siri-6000. Untuk pembesar suara, Lenovo Z6 mempunyai pembesar suara yang dioptimasikan dengan Dolby Atmos. Melalui laman web Lenovo, peranti ini dilihat lebih memfokuskan kepada penggunaan skrin, permua dan juga penggunaan kasual. Lenovo dilihat tidak begitu tekankan bahagian kamera seperti mana mereka mempromosikan Lenovo Z6 Pro.

Harga jualan peranti ini dilihat agak menarik, tidak begitu mahal dan tidak begitu murah. Ia kena dengan kelasnya, yang mana dijual pada harga RMB1899 (~RM1143) untuk 6/64 GB, RMB2099 (~RM1623) untuk 6/128 GB dan RMB2499 (~RM1503) untuk variasi paling tinggi 8/128 GB. Warna yang dijual hanyalah warna biru. Sayang sekali, peranti ini tidak akan dijual di Malaysia secara rasmi.


Ulasan Huawei P30 Pro – Peranti Untuk Fotografi Terbaik 2019

$
0
0

Tahun lalu buat pertama kali dalam sejarah Amanz, peranti Huawei dinobatkan sebagai yang terbaik sepanjang 2018. Huawei Mate 20 Pro menerima anugerah ini kerana sistem tri-kameranya yang membawakan inovasi yang tidak ditemui pada peranti lain, sistem pengecasan adipantas dan harga jualan yang mampu milik. Bolehlah dikatakan tahun lalu Huawei ianya syarikat yang berjaya membawakan perubahan paling besar ke atas produk yang mereka hasilkan.

Hanya beberapa tahun yang lalu peranti Huawei dipandang enteng oleh kebanyakan pengguna kerana ia berasal dari China. Dengan Huawei P30 Pro, mereka sekali lagi membawakan inovasi pada peranti mudah alih. Kali ini ialah peranti dengan kemampuan zum 10X nirhilang dan zum 50X yang mampu menandingi kebanyakan kamera digital di pasaran.

Ulasan ini beberapa kali ditangguhkan kerana sekatan yang dikenakan ke atas Huawei yang kemudiannya ditarik semula pada hujung minggu lalu. Persoalannya adalah ia masih berbaloi untuk dimiliki tambahan pula selepas pengalan harga baharu RM3399 yang baru diumumkan? Ini ialah ulasan kami untuk peranti yang menjadi bualan ramai.

Spesifikasi

Huawei P30 Pro
Skrin 6.47″ FHD+,
OLED, HDR10
Pemproses HiSilicon Kirin 980
Cip 2.6 X 2 GHz Cortex A76
1.92X 2 GHz Cortex A76
1.8 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP10
RAM 8 Gigabyte LPDDR4X
Muatan Dalaman 256/512 GB
(NM card sehingga 256GB)
Kamera Utama 40+20+8+TOF Megapixel.
f/1.6+f/2.2+f/3.2, OIS, HDR
Kamera Depan 32 Megapixel f/2.0
Bateri 4200 mAh
(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Imbasan cap jari dalam skrin
Harga Jualan Bermula RM 3399

Dengan skrin 6.47″, P3o Pro mempunyai skrin yang lebih besar berbanding Mate 20 Pro yang hanya sebesar 6.39″. Teknologi skrin yang digunakan adalah OLED dengan resolusi maksimum FHD+ sahaja. Oleh sebab itu kepadatan pixel peranti ini (398 PPI) adalah lebih rendah berbanding Galaxy S10+ (522 PPI) dan iPhone XS Max (458 PPI). Namun begitu seperti peranti-peranti mercu lain di pasaran, skrin P30 Pro menyokong paparan HDR10 serta julat warna DCI-P3.

Skrin ini mempunyai rekaan dwi-lengkung pada bahagian sisi bagi membolehkan ia kelihatan seperti mempunyai bezel sisi yang kecil. Bahagian dagu dan dahi peranti adalah kecil. Bagi menggunakan rekaan dahi yang nipis ini, pembesar suara untuk fizikal pada bahagian atas digantikan dengan sistem HUAWEI Acoustic Display Technology. Audio dipindahkan dari skrin terus ke telingan pengguna. Ini adalah teknologi yang sama seperti Samsung Sound of Display yang digunakan pada Galaxy A80 dan Xiaomi Mi MIX asal. Panggilan telefon berbunyi agak jelas tetapi masih tidak setanding audio dari pembesar suara sebenar.

Pada bahagian atas terdapat takuk yang kecil untuk kamera hadapan. Huawei tidak menyertakan sistem imbasan wajah 3D pada P3o Pro dan hasilnya ialah takuk pada peranti ini lebih kecil berbanding Mate 20 Pro. Melengkapi spesifikasi skrin ialah pengimbas cap jari yang terbina di dalam skrin. Ia masih lagi mengekalkan teknologi imbasan optikal. Buat masa ini hanya Galaxy S10 dan S10+ yang dilengkapi sistem imbasan cap jari dalam skrin ultrasonik yang lebih pantas dan selamat.

Pemproses 7nm HiSilicon Kirin 980 digunakan dan ia adalah pemproses yang sama seperti yang ditemui pada Mate 20 Pro dan Honor View20.  Kirin 980 hadir dengan konfigurasi 2+2+4 teras digunakan. Dua teras utama teras A76 dengan kelajuan 2.6GHz dipadankan dengan dua teras Cortex-A76 dengan kelajuan 1.92GHz dan empat teras kuasa rendah Cortex-A55 dengan kelajuan 1.8 GHz. Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali-G76 MP10.

Ini dipadankan pula dengan memori 8GB RAM LPDDR4X dan storan sehingga 512GB. Bagi yang memerlukan storan tambahan, terdapat sokongan kad NM sehingga 256GB. Seperti Samsung, Huawei terus menawarkan memori sebesar 8GB RAM pada peranti mercu mereka dan melangkau penawaran 6GB RAM. Pada tahun 2019, kita sudahpun melihat peranti dengan memori sebesar 12GB RAM yang lebih besar dari yang ditemui kebanyakan komputer peribadi. Penggunaan memori sebesar 6GB RAM pada peranti mercu kini tidak lagi boleh diterima.

Kamera utama pada bahagian belakang menggabungkan sensor 40+20+8+TOF Megapixel. Ini adalah peningkatan dari hanya 40+20+8 Megapixel yang digunakan pada Mate 20 Pro. Sensor 40-Megapixel dilengkapi lensa sudut lebar f/1.6, 20-Megapixel dengan lensa sudut ultra lebar f/2.2 dan sensor 8-Megapixel dengan lensa zum optikal 5X f/3.4. Keunikan sensor 8-Megapixel yang digunakan ialah sistem periskop yang boleh melakukan zum hibrid 10X nirhilang dan zum 50X digital. Tiada peranti mudah alih yang mampu melakukan kemampuan sensor ini sebelum P30 Pro dilancarkan.

Pada bahagian hadapan hanya satu sensor 32-Megapixel f/2.0 dengan fokus kekal digunakan. Saiz sensor ini adalah lebih besar berbanding 24-Megapixel pada Mate 20 Pro, 10+8 Megapixel pada Galaxy S10+ dan 7-Megapixel pada iPhone XS Max.

Sebuah bateri sebesar 4200 mAh yang disertakan pula adalah 100 mAh lebih besar berbanding yang digunakan pada Galaxy S10+. Dengan saiz bateri yang besar ini, peranti diharapkan dapat bertahan sepanjang hari sebelum perlu dicaj. Apabila kehabisan bateri, P30 Pro boleh dicas dengan amat pantas menggunakan pengecas 40W. Terdapat juga sokongan pengecasan nirwayar 15W dan pengecasan peranti lain menerusi sistem Wireless Reverse Charge.

Akhir sekali peranti ini turut masih mempunyai kemampuan kalis debu dan air yang melepasi piawaian IP68, pembesar suara stereo, bluetooth 5.0 dan pemancar infra merah. Huawei adalah sebahagian kecil pengeluar yang masih melihat terdapat keperluan untuk meletakkan pemancar infra merah pada peranti mereka.

Rekabentuk

Rekaan peranti pada hemat kami bukanlah kekuatan Huawei. Mereka masih mencari identiti tersendiri. Pada Mate 20 Pro kami merungut ia kelihatan seperti hibrid iPhone X dan Galaxy S9. P30 Pro kelihatan seperti sebuah Galaxy S10 dengan takuk kecil pada tengah skrin. Harus kami akui rekaan peranti ini menarik untuk dipandang cuma kekurangan identiti tersendiri membuatkannya sukar dibezakan dari ratusan peranti dengan rekaan semua-skrin di pasaran sekarang.

Skrin melengkung pada sisi kiri dan kanan bagi membuatkan ia lebih selesa dipegang sebelah tangan. Ini adalah perlu kerana ia sebuah peranti dengan saiz yang besar. Skrin kelihatan terang dan tajam walaupun ia hanya beresolusi FHD+. Apabila kandungan HDR dimainkan, ia terpapar cantik dan sempurna. Ini adalah peningkatan berbanding pada Mate 20 Pro yang kurang lancar serta memaparkan masalah jalur warna (colour banding) yang ketara.

Tidak melampau untuk kami katakan kualiti skrin P30 Pro adalah setanding dengan yang ditemui pada Galaxy S10e. Kekurangan hanyalah resolusinya serta kepadatan lebih rendah berbanding Galaxy S10+ dan iPhone XS Max. Bagi sebuah peranti mercu, kami mengharapkan spesifikasi tertinggi pada semua komponen yang digunakan. P3o Pro tidak lagi dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding Galaxy S10+ dan kekurangan pada resolusi skrin kini tidak lagi boleh diterima.

Sistem imbasan cap jari terbina dalam skrin yang disertakan berfungsi dengan pantas. Kerana ia dari jenis optikal, ia hanya suka menyahkunci jika jari pengguna basah ataupun kotor. Pujian juga kami berikan kepada sistem nyahkunci yang pantas. Ia turut boleh mengecam wajah pada posisi mendatar tidak seperti pada hiperon XS Max. Namun begitu menyahkunci dengan wajah dalam situasi gelap adalah mustahil kerana tiada pemancar infra merah seperti Mate 20 Pro.

Bingkai logam yang kecil digunakan dengan warna yang menyamai panel belakang. Kemasan pada bingkai adalah kemas tanpa sebarang sudut tajam. Satu kelemahan peranti keluaran China sebelum ini adalah pada kemasan. Huawei P30 Pro tidak mempunyai masalah ini sekaligus melayakkannya dijual sebagai sebuah peranti mercu premium.

Pada bahagian sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam. Butang kuasa turut mempunyai kemasan warna merah bagi membezakannya dengan butang suara di atasnya. Kedudukannya mudah diakses oleh jari dan butang yang digunakan memberikan tindak balas yang baik. Ia kukuh tanpa masalah longgar yang mungkin menjengkelkan pengguna.

Butang kuasa ini turut berfungsi sebagai butang untuk menyeru Google Assistant apabila ditekan. Untuk mematikan peranti, butang kuasa perlu ditekan sekitar tiga saat sebelum menu mematikan peranti dipaparkan pada skrin. Ini bukanlah sistem mematikan peranti yang paling intuitif tetapi terpaksa dilakukan bagi memberikan sokongan butang Assistant terbina.

Bonggol kamera pada bahagian belakang adalah agak besar dan tinggi. Ini menyebabkan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja tanpa merosakkan lensa. Huawei menyertakan sebuah kerangka plastik dengan setiap pembelian. Bagi memastikan lensa dan mekanisme periskop P30 Pro bertahan lama, kami rasa ada baiknya jika sebuah kerangka tahan lasak dimiliki. Ini turut menyelesaikan masalah panel kaca belakang yang memerangkap kotoran dena terlalu mudah.

Port pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah peranti dihimpit dengan talam SIM pada sebelah kiri dan pembesar suara pada bahagian kanan. Talam hibrid sekali lagi digunakan bagi turut menyokong kad NM Card untuk penambahan storan dalaman sehingga 256GB. Tiada bicu audio disertakan kerana ia telah dilakukan oleh Huawei sejak P2o Pro lagi. Huawei menyertakan penyesuai USB-C ke bicu audio dan sepasang fon kepala USB-C dengan setiap pembelian.

Bahagian sisi peranti dibulatkan bagi meningkatkan keselesaan ketika digunakan manakala bahagian atas dan bawah pula adalah rata. Secara keseluruhan P30 Pro adalah antara peranti dengan rekaan yang paling menarik di pasaran. Kemasan premium dipadankan dengan kemasan kelas tinggi yang meletakkannya setanding dengan yang dikeluarkan oleh Apple dan Samsung. Ini tidak mengejutkan kerana mereka kini pengeluar peranti kedua terbesar di pasaran walaupun selepas dikenakan sekatan selama sebulan oleh Amerika Syarikat.

Antaramuka

Sistem operasi Android 9 Pie dengan pelancar EMUI 9.1 digunakan. Ini adalah antaramuka yang paling terkini digunakan pada peranti Huawei. Perbezaan paling besar dilakukan pada rekaan ikon yang lebih minimalistik dengan warna yang rata. Ikon diletakkan di dalam kotak berbucu bulat dan bukan lagi di dalam bulatan seperti yang dapat dilihat pada Mate 20 Pro (EMUI 9.0).

Tidak seperti Samsung yang mengubah sepenuhnya antaramuka mereka untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan, Huawei masih belum berani melakukan perubahan drastik pada pelancar mereka. Jika dilihat dari segi positif, pengguna peranti Huawei tidak perlu belajar semula antaramuka baharu apabila membeli P30 Pro.

Masih terdapat tiga butang navigasi atas skrin iaitu multi tugas, home dan back. Susunan butang-butang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Malahan EMUI 9.1 membenarkan sehingga empat butang diletakkan pada talam navigasi. Sistem gesture seakan Android Pie masih belum disokong. Sebaliknya sistem gesture Huawei digunakan dan ia berbeza dengan yang diperkenalkan Google. Wujud juga sistem Navigation Dock seakan Assistive Touch pada iOS. Pilihan pelbagai ini memberikan kebebasan kepada pengguna untuk mengawal peranti. Kami cuma kesal tiada sistem navigasi Android Pie asli disertakan kerana ia jauh lebih intuitif.

Sepanjang tempoh ulasan kami tidak mengalami sebarang masalah seperti sela masa atau kesukaran menjalankan aplikasi. Bagi mereka yang mencari peranti yang lancar, P30 Pro tidak akan mengecewakan.

Namun begitu ada masalah yang kami rasakan agak menjengkelkan dengan EMUI 9.1 yang terbawa-bawa dari EMUI 9.0 iaitu notifikasi tidak dipaparkan dengan pantas. Jika peranti diletakkan di atas meja, tiada bunyi notifikasi akan diterima. Apabila diangkat secara tiba-tiba kesemua notifikasi akan muncul berderet-deret. Ini adalah kerana sistem pengurusan bateri EMUI yang agak agresif untuk memanjangkan hayat penggunaan peranti.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Huawei P30 Pro.

App Twin – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Dark Theme – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

Digital Balance – Aplikasi yang menjejak penggunaan peranti. Boleh digunakan untuk mengehadkan masa peranti digunakan sepanjang hari bagi kesihatan digital.

Easy Projection – Mod desktop yang dipaparkan pada skrin lebih besar secara nirwayar. Hanya menyokong peranti Miracast setakat ini. Sokongan Easy Projection secara berwayar masih boleh dilakukan.

Gesture – Pelbagai perkara dapat dilakukan menggunakan gesture seperti merakam skrin dengan mengetuk skrin, melancarkan dua aplikasi serentak dengan melakar garis pada skrin dan menghidupkan skrin dengan dwi-tap.

Melancarkan kamera dengan pantas – Menekan butang mengurangkan suara sebanyak dua kali.

Navigation Bar – Tiga pilihan navigasi iaitu tri-butang, gesture atau Navigation Dock.

Notch – Menyorokkan takuk kamera pada paparan skrin. Peranti kelihatan kembali berdahi menggunakan mod ini.

Nyahkunci Menggunakan Wajah – Menyahkunci skrin peranti dengan menggunakan wajah.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menatal dari bucu bawah skrin ke atas atau dari butang home ke mana-mana butang navigasi yang digunakan.

Optimiser – Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus, pengurusan bateri dan nombor yang dihalang.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar. Ini membolehkannya berfungsi seakan sebuah powerbank.

Smart Remote – Aplikasi alat kawalan jauh. Ratusan peranti disenaraikan mengikut pengeluar dan model.

Kamera

Kekuatan utama P30 Pro terletak pada kemampuan kameranya amat unik. Di pasaran sekarang hanya P30 Pro dan Oppo Reno 10X Zoom sahaja yang mempunyai sistem zum yang tinggi. Ini dilakukan dengan menggunakan sistem empat kamera yang menggabungkan sensor 40+20+8+TOF f/1.6+f/2.2+f/3.4 . Lensa utama dipadankan dengan sensor 40-Megapixel. Lensa sudut ultra lebar pula dipadankan dengan sensor 20-Megapixel  manakala lensa telefoto dengan sensor 8-Megapixel. Mekanisme periskop digunakan bagi memberikan kemampuan zum sehingga 50X. Harus diingatkan zum hanya sehingga 15X apabila melakukan rakaman video. Kamera hadapan pula sebesar 32-Megapixel f/2.0.

Peranti hanya menangkap gambar dengan nisbah 4:3, 21:9 dan 1:1. Untuk video pula terdapat kemampuan merakam video pada tetapan maksimum 4K 30FPS dengan HDR dengan hanya rakaman 1080P sahaja boleh merakam pada kadar 60FPS. Pilihan nisbah gambar yang agak terhad adalah agak mengecewakan. Peranti mercu lain menawarkan nisbah 16:9 tetapi tidak P30 Pro. Pada waktu yang sama apabila merakam gambar pada nisbah 21:9, resolusi dihadkan kepada 6-Megapixel sahaja.

Tiadanya rakaman video 4K 60FPS juga satu kekurangan yang ketara kerana Apple, OnePlus dan Samsung tiada masalah menyokongnya mengapa Huawei sebagai pengeluar peranti kedua terbesar tidak boleh melakukannya juga?

Mod-mod kamera yang disertakan adalah amat banyak. Antaranya ialah panorama, monokrom, light painting, dual-view dan super macro. Kami berterima kasih kepada Huawei kerana meletakkan mod super-macro sebagai tetapan pilihan.

Sebelum kemas kini pertama, mod super macro hanya diaktifkan jika Master AI mengesan subjek yang terletak berhampiran lensa. Pengguna tidak boleh mengawal bila ia boleh diaktifkan. Dengan tetapan tambahan ia boleh diaktifkan sepanjang masa dan memudahkan proses pengambilan gambar makro.

Kualiti Gambar

Kualiti gambar P3o Pro dapat anda lihat sendiri menerusi gambar yang kami lampirkan di bawah. Penghasilan semula adalah amat baik sekali terutamanya dalam situasi pencahayaan yang terang. Gambar yang diambil tajam dengan fokus yang baik. Tiada masalah dedahan berlebihan dapat dilihat pada sumber cahaya. Kesemua gambar diambil dengan kecerdasan Master AI diaktifkan.

Harus kami nyatakan apabila ia diaktifkan, mengambil gambar pada kadar pantas tidak boleh dilakukan kerana butang kamera mengambil masa sesaat sebelum boleh ditekan semula. Seperkara lagi secara default, gambar diambil pada tetapan 10MP. Sekiranya mode 40MP dipilih, sistem zum tidak boleh diakses. Mengapa ini dilakukan adalah misteri bagi kami kerana turut dilakukan pada Mate 20 Pro.

Mod malam diperkenalkan pada P20 Pro tahun lalu. Secara berperingkat mod ini telah ditambah baik dan bagi membolehkan gambar waktu malam kelihatan lebih menyerlah. Tiada masalah hingar yang ketara dapat dilihat dan objek kelihatan cukup terang. Bagi mendapatkan gambar yang terbaik, bukaan selama lima saat digunakan oleh aplikasi kamera. Ini membuatkan mod ini hanya sesuai di dalam situasi di mana subjek tidak bergerak. Gambar yang baik masih boleh diambil sekiranya tangan anda tidak stabil. Kami sedari sistem P30 Pro cukup pintar untuk menggabungkan gambar multi-dedahan bagi menghasilkan komposit gambar malam walaupun jika tangan bergerak.

Mdo swafoto adalah baik tetapi tidak setanding dengan yang boleh ditemui pada peranti Pixel. Kesan bokeh masih kelihatan sedikit palsu tetapi masih memuaskan. Kami walau bagaimanapun sedari tona warna gambar adalah sedikit kekuningan apabila menggunakan kamera swafoto.

Berikut pula ialah siri gambar yang diambil menggunakan mod ultra sudut lebar, 1X, 5X, 10X dan 50X. Paparan viewfinder adalah stabil sehingga 5X sahaja. Pada tetapan zum 10X viewfinder mula kelihatan terhuyung-hayang sehingga sukar untuk melakukan framing. Pergerakan tangan yang sedikit boleh mengakibatkan subjek terkeluar dari bingkai gambar. Pada tetapan zum 50X pula melakukan framing hampir menjadi agak mustahil tanpa penggunaan tripod. Seperti yang anda dapat lihat di bawah, sehingga ke tahap zum 5X kualiti gambar masih lagi amat baik. Kualiti hanya kelihatan sedikit kabur pada tahap zum 10X.

Berdasarkan pengalaman menggunakan mod zum ini, kami boleh katakan ia hanya praktikal sehingga 5X sahaja. Melangkaui tahap zum ini proses mengambil gambar menjadi sukar tanpa bantuan tripod. Kami juga kurang gemar dengan pilihan tahap zum yang dipaparkan pada skrin. Hanya pilihan ultra sudut lebar (0.6X), 1X, 5X, 10X dan 50X sahaja diberikan. Kami rasakan pilihan untuk 2X dan 3X patut diberikan kerana ia lebih praktikal untuk kegunaan harian. Untuk melakukan zum 2X dan 3X secara manual adalah sukar kerana sistem slider yang digunakan adalah amat sensitif. Pergerakan yang sedikit sahaja boleh mengakibatkan tahap zum melompat terlalu besar.

Akhir sekali ialah mod rakaman video. Dukacita dimaklumkan ia adalah mengecewakan bukan sahaja dari sudut rakaman 4K dengan kadar bingkai rendah tetapi turut terletak pada sistem penstabilan imej yang kurang mantap. Penggunaan sistem periskop menyebabkan proses melakukan zum keluar masuk yang tidak lancar sama sekali ketika merakam video. Anda boleh lihat sendiri babak zum ke belakang dari bunga teratai yang tersekat-sekat.

Kualiti video adalah cantik seperti rakaman gambar asalkan tiada pergerakan dilakukan. Apabila aksi panning ke sisi dilakukan, kami menyedari seakan ada kesan frame skip kerana sistem penstabilan yang tidak mampu mengejar pergerakan kamera. Asalkan tiada pergerakan kualiti video adalah memuaskan tetapi kami tidak yakin ramai ingin melakukan rakaman secara statik. Kualiti audio juga mengecewakan kerana tidak jelas jika dibadingkan dengan apa yang dapat dirakam pada iPhone XS Max dan Galaxy S10+. Dengan kata lain P30 Pro mungkin raja di arena fotografi tetapi hanya sekadar menteri sumber manusia di arena videografi.

Audio

Tiada sokongan pembesar suara stereo disokong pada peranti ini kerana penggunaan sistem Huawei Acoustic Display Technology yang kami sebutkan pada perenggan awal ulasan ini. Kesemua audio dikeluarkan dari pembesar suara pada bahagian bawah peranti. Pada tetapan audio paling tinggi bunyi yang dihasilkan lantang tetapi tidak pecah. Namun tanpa sokongan stereo, menonton siri TV misalnya terasa kurang menyengat.

Bicu audio tidak disertakan tetapi kami tidak merinduinya kerana sudah mempunyai pelbagai aksesori audio bluetooth. Dengan bluetooth 5.0 dan LDAC, penstriman audio pada kualiti yang tinggi dapat dilakukan. Kami cukup berpuasa hati dengan kualiti audio tetapi harus mengakui ia bukan yang terbaik pernah kami dengari. Galaxy S10+ masih pada hemat kami memberikan pengalaman audio yang lebih memuaskan.

Jika anda membaca ulasan Mate 20 Pro kami tahun lalu, kami merungut EMUI tidak menyokong paparan peratusan bateri peranti bluetooth yang ditambat. Masalah ini masih wujud pada P30 Pro dan ketiadaannya adalah mengelirukan kerana ia disokong secara terbina pada Android 9 Pie. Jalan penyelesaian kepada isu ini ialah menggunakan aksesori audio bluetooth dengan aplikasi yang menunjukkan tahap bateri seperti yang dikeluarkan oleh Jabra dan Samsung.

Penanda Aras

Cip Kirin 980 yang digunakan adalah sebilangan kecil di pasaran yang dihasilkan menggunakan teknologi 7nm. Ia juga adalah yang paling berkuasa yang dihasilkan oleh Huawei untuk peranti mercu mereka setakat ini. Menerusi ujian penanda aras Geekbench 4, ia mencatatkan 3285 markah dalam ujian satu teras dan 9774 markah dalam ujian multi teras. Ini adalah markah yang hanya sedikit lebih rendah berbanding 3384 dan 10414 yang dicatatkan oleh OnePlus 7 Pro. Buat masa ini OnePlus 7 Pro dengan cip Snapdragon 855 adalah peranti Android dengan markah Geekbench 4 tertinggi di makmal peranti Amanz.

Bagaimana pula markah yang dicatatkan apabila dibandingkan dengan iPhoen XS Max dengan cip Apple A12 Fusion? Peranti mercu Apple ini mencatatkan 4834 markah untuk ujian satu teras dan 11,430 markah untuk ujian multi-teras dalam ujian Geekbench. Jadi untuk tahun 2019, tiada lagi peranti Android di pasaran yang berjaya memintas kemampuan iPhone.

Dalam ujian Antutu 3D pula, 273,811 markah dicatatkan. Sekali lagi markah yang dicatatkan adalah lebih rendah berbanding 359,893 markah oleh Snapdragon 855 dan 324,440 oleh Apple A12 Fusion. Ya pada ketika ini markah terbaik Antutu 3D dipegang oleh OnePlus 7 Pro.

Tiada masalah sepanjang penggunaan selama lebih dua bulan. Beberapa masalah kecil yang dialami pada awal tempoh ulasan telah diselesaikan menerusi dua kemas kini yang diberikan oleh Huawei. Peranti juga tidak menjadi panas ketika digunakan walaupun untuk menjalankan permua. Ini semua tidak mengejutkan kerana sebuah peranti mercu model jarang sekali mempunyai masalah di atas.

Bateri

P30 Pro mempunyai bateri yang terbesar pada peranti mercu di pasaran dengan kapasiti 4200 mAh. Hasilnya ialah hayat penggunaan peranti yang amat baik. Pada penggunaan biasa ia mampu bertahan sehingga 27 jam dengan skrin terpasang hampir 8 jam. Hayat penggunaan merosot ke sekitar 16 jam dengan skrin terpasang selama 11 jam apabila digunakan secara lebih intensif. Mahukan peranti yang bertahan sepanjang hari sebelum perlu dicas? P30 Pro adalah peranti yang direka untuk anda.

Dengan sistem pengecasan SuperCharge 40W, bateri boleh dicas sepenuhnya dalam masa hanya sejam. Bateri boleh dicas ke tahap 70% dalam masa hanya setengah jam. Tidak ada peranti lain di pasaran yang mampu memberikan prestasi pengecasan sepantas ini. Sistem pengecasan nirwayar pula mengecas pada kuasa maksimum 15W yang setanding dengan penegcasan berwayar pada Galaxy S10+.

Untuk menikmati pengecasan pantas 40W yang kami sebutkan tadi, pengecas khusus Huawei diperlukan. Kami ada mengulas pengecas USB-C 60W Innergie tetapi ia tidak mampu mengecas dengan output 40W kerana sistem khusus SuperCharge yang hanya digunakan oleh Huawei. Saiz pengecas juga lebih besar berbanding biasa dan berkaki dua. Huawei Malaysia tidak menghasilkan pengecas tiga serampang yang digunakan di negara kita.

Fungsi bonus lain yang disertakan ialah P30 Pro boleh mengecas peranti lain juga secara nirwayar. Tiada maklumat dapat kami cari mengenai kuasa pengecasan nirwayar ini. Yang pasti ia hanya sesuai untuk mengecas aksesori seperti fon telinga nirwayar dan bukan peranti pintar yang lain.

Pesaing

Sebagai perbandingan kami membandingkan P30 Pro dengan Oppo Reno 10X Zoom dan Galaxy S10+ kerana ketiga-tiga peranti mercu ini mempunyai kemampuan setanding.

Peranti Pesaing
Huawei P30 Pro Oppo Reno 10X Zoom Samsung Galaxy S10+
6.47″ OLED FHD+, HDR10 (398 PPI) 6.6″ OLED FHD+ (387 PPI) 6.4″ Dynamic AMOLED QHD+, HDR10+ (522 PPI)
2.6 x 2 + 1.92 x 2 + 1.8 x 4 GHz Kirin 980 2.84 x 1 + 2.42 x 3 + 1.8 x 4 GHz Snapdragon 855 2.73 x 2 + 2.31 x 2 + 1.95 x 4 GHz Exynos 9820
Mali-G76 MP10 Adreno 640 Mali-G76 MP12
8 Gigabyte 8 Gigabyte 8 Gigabyte
128 Gigabyte (NM Card sehingga 256GB) 256 Gigabyte (256GB MikroSD) 128 Gigabyte (1 TB MikroSD)
Kamera Utama 40+20+8 Megapixel. f/1.8+f/2..2+f/2.4, OIS, PDAF, Zum Optikal 5X Kamera Utama 48+13+8 Megapixel. f/1.7+f/3..3+f/2.2, OIS, PDAF, Zum Optikal 5X Kamera Utama 12+12+16 Megapixel, (f/1.5+f/2.4+f/2.2), OIS, Dual Pixel, Zum Optikal 2X
Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 10+8 Megapixel, f/1.9+f/2.2
IP68 Tiada IP68
4200 mAh (SuperCharge 4oW)/Nirwayar Qi 4065 mAh (VOOC 20W) 3100 mAh (Adaptive Fast Charging 18W)/Nirwayar Qi
RM 3399 RM 3399 RM 3699

Kesimpulan

Pemproses berkuasa tinggi memastikan P30 Pro boleh menjalankan aplikasi dengan pantas dan lancar. Ketahanan bateri juga menakjubkan dipadankan pula dengan sistem pengecasan adipantas. Skrin mungkin tidak menyokong resolusi QHD+ tetapi kami tidak merasakan ia kekurangan yang dirasai kerana paparan masih kelihatan tajam. Penghasilan warna pada skrin lebih tepat tanpa masalah colour banding yang dilihat pada Mate 2o Pro.

Kita kini di bulan Julai dan Huawei P3o Pro ialah peranti dengan kemampuan fotografi yang terbaik kami lihat setakat ini. Gambar yang diambil adalah terang, tajam dengan penghasilan semula warna yang baik dalam pelbagai situasi. Mod malamnya pula terbaik di dalam kelas dengan penambahbaikan berbanding yang digunakan pada Mate 20 Pro sebelum ini. Zum digital sehingga 50X adalah gimik yang menarik tetapi sebenarnya tidak akan digunakan dengan kerap. Namun begitu zum optikal sehingga 5X adalah fungsi yang kini kami rasakan secara peribadi perlu pada semua peranti mercu kerana memudahkan tugasan

Kekurangan masih ada dan terletak pada EMUI 9.1 Ia masih bukan antaramuka yang tercantik di pasaran. Terdapat fungsi asas seperti paparan bateri aksesori audio dan gesture Android asli yang tidak disertakan. Tambahan lagi sistem pengurusan bateri EMUI terlalu agresif sehingga kerap kali notifikasi tidak dipaparkan secara masa nyata.

P3o Pro juga mempunyai mod rakaman video yang mengecewakan bagi sebuah peranti mercu. Resolusi maksimum hanya sehingga 4K 30FSP sahaja sedangkan pesaing menyokong 4K 60FPS. Penstabilan imej ketika rakaman video tidak begitu stabil. Sistem zum agak tersekat-sekat yang membuatkan video yang diambil kurang memuaskan. Prestasi audio juga lebih mirip sebuah peranti kelas pertengahan.

Jadi adakah Huawei P30 Pro peranti yang harus anda miliki? Jawapan dari kami ialah ya kerana kemampuan fotografi, memproses, dan bateri yang amat baik. Dengan harga jualan kini bermula dari RM 3399 sebuah (potongan RM400 dari harga asal April lalu), ia adalah amat berbaloi untuk sebuah peranti dengan pakej yang hampir lengkap. Huawei P30 Pro kini secara rasmi antara peranti terbaik di pasaran Malaysia. Kami kini teruja untuk melihat pembaharuan yang akan diperkenalkan seterusnya oleh Huawei menerusi Mate 30 Pro kelak.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan yang amat menarik dengan kemasan yang premium.
  • Prestasi yang tinggi untuk permua dan tugasan harian.
  • Kemampuan fotografi terbaik pernah kami lihat pada sebuah telefon mudah alih. Mod malam dan zum yang tidak dapat ditandingi peranti lain.
  • Bateri yang mampu bertahan seharian dengan sistem pengecasan yang mengambil masa hanya sejam.
  • Sistem imbasan cap jari dan wajah yang pantas. Boleh beroperasi pada kedudukan mendatar.
  • Sokongan pengecasan nirwayar 15W dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.
  • Pemancar infra merah.
  • Kemampuan rakaman video mengecewakan bagi sebuah peranti mercu.
  • Kualiti pembesar suara dalam skrin tidak sebaik pembesar suara tradisional.
  • Sistem audio mono.
  • Fungsi asas Android seperti tahap bateri aksesori bluetooth dan navigasi gesture tidak disokong.

Redmi 7A Versi India Menyertakan Kamera 12MP Sony IMX486 – Seumpama Sensor Pada Xiaomi Mi A2

$
0
0

Xiaomi pada hari ini telah melancarkan Redmi 7A untuk pasaran India, iaitu sebulan selepas pelancaran peranti ini di China. Namun apa yang menarik bagi variasi di India ini, ia menyertakan keupayaan kamera yang berlainan berbanding versi Redmi 7A sedia ada.

Redmi 7A versi India menggunakan sensor utama 12MP Sony IMX486, berbanding sensor 13MP pada versi China. Untuk makluman, sensor ini telah digunakan pada sejumlah peranti kelas pertengahan seperti Xiaomi Mi A2 dan Redmi Note 7 versi India.

Namun dari segi spesifikasinya yang lain, ia dilihat menyerupai seperti mana yang hadir pada versi China. Redmi 7A membawakan paparan 5.45-inci IPS LCD HD+, cip Snapdragon 439, memori 2GB RAM, dan pilihan storan dalaman 16GB/32GB. Ia juga menyertakan kamera hadapan 5MP, slot dwi-sim, sokongan FM Radio, dan bateri berkapasiti 4000 mAh.

Redmi 7A versi India ini bakal dijual dengan harga bermula ₹5,799 (RM349) bagi variasi 2GB RAM + 16GB. Peranti ini masih belum dijual di Malaysia, namun anda boleh mendapatkannya pada harga RM459 melalui halaman Xiaomi Store Global.

Siri Komputer Riba GIGABYTE Aorus Turut Memasuki Pasaran Tempatan Tidak Lama Lagi

$
0
0

Selain daripada siri komputer riba GIGABYTE Aero 15 yang diperkenalkan hari ini. GIGABYTE Malaysia turut memperkenalkan sebuah lagi siri komputer riba gaming, iaitu siri GIGABYTE Aorus.

Terdiri daripada GIGABYTE Aorus 5, Aorus 7 dan GIGABYTE Aorus 15, komputer riba gaming ini hadir dengan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri yang berbeza bergantung kepada keperluan pengguna.

 

Bermula dengan spesifikasi dalaman, komputer-komputer riba ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-9750H, pilihan memori DDR4 8GB sehingga 16GB dengan SSD sebesar 256GB/512GB dan cakera keras 1TB.

Dari segi kad grafik pula, komputer-komputer riba Aorus ini hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1660/1660Ti, NVIDIA GeForce RTX 2060 dan NVIDIA GeForce RTX 2070.

Dalam pada itu, siri Aorus ini juga dilengkapi dengan pilihan paparan bersaiz 15.6 inci dan 17.3 inci dengan resolusi, bergantung kepada model yang diingini. Kebanyakan daripadanya hadir dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz, tetapi terdapat juga paparan dengan kadar segar semula 240Hz.

Dalam pada itu, siri komputer riba Aorus ini juga menggunakan sistem penyejukan Windforce Technology yang akan menyejukkan komponen-komponen dalaman dengan berkesan.

Model-model GIGABYTE Aorus yang akan memasuki pasaran tempatan adalah seperti berikut:

  • GIGABYTE Aorus 5 NA 144Hz (NVIDIA GeForce GTX 1660) : RM4999
  • GIGABYTE Aorus 7 NA 144Hz (NVIDIA GeForce GTX 1660) : RM5199
  • GIGABYTE Aorus 7 SA 144Hz (NVIDIA GeForce GTX 1660Ti) : RM6199
  • GIGABYTE Aorus 15 SA 144Hz (NVIDIA GeForce GTX 1660Ti) : RM6399
  • GIGABYTE Aorus 15 WA 144Hz (NVIDIA GeForce RTX 2060) : RM6899
  • GIGABYTE Aorus 15 WA 240Hz (NVIDIA GeForce RTX 2070) : RM8899

Sama seperti komputer riba GIGABYTE Aero, komputer riba siri Aorus ini juga boleh dipra-tempah bermula hari ini, dan boleh dibeli di kedai-kedai pengedar komputer riba Aorus bermula 15 Julai ini.

Apple Dilaporkan Akan Menghentikan Pembangunan Kekunci Kupu-Kupu Pada MacBook

$
0
0

Papan kekunci berasaskan rekaan kupu-kupu telah diperkenalkan pada MacBook sejak 2015, namun ia mengalami pelbagai isu sejak daripada pengenalannya. Menurut Ming-Chi Kuo, Apple dilaporkan akan menghentikan pembangunannya pada MacBook akan datang – bermula pengeluaran sejumlah MacBook pada tahun ini.

Bagi menggantikan papan kekunci kupu-kupu ini, 9to5Mac melaporkan bahawa Apple mungkin akan beralih kepada rekaan dalaman kekunci berasaskan rekaan suis seumpama gunting. Menurut Kuo, antara MacBook terawal yang akan menerima rekaan baru ini ialah MacBook Air yang akan dilancarkan tahun ini, diikuti MacBook Pro pada tahun 2020.

Dengan perubahan ini, ia dijangka dapat mengurangkan isu kemasukan habuk dalam papan kekunci, yang mana menyebabkan sesetengah kekunci gagal berfungsi. Sejak pengenalan papan kekunci berasaskan rekaan kupu-kupu, Apple kerap menambah baik papan kekunci ini pada keluaran MacBook baru setiap tahun, namun masih terdapat isu dari segi penggunaan.

Dengan penggunaan suis kekunci berasaskan rekaan seumpama gunting, ia dijangka dapat mengurangkan isu ketahanan, selain dapat mengurangkan kos pengeluaran bagi papan kekunci ini. Selain daripada MacBook Air, MacBook Pro 13-inci tanpa Touch Bar juga dijangka akan menerima rekaan kekunci baru pada tahun ini.

Perbandingan Huawei Nova 5, Xiaomi Mi 9T Dan Samsung Galaxy A80 (Dikemaskini)

$
0
0

Huawei Nova 5 dilancarkan sebentar tadi dengan cip terbaru Kirin 810. Ia adalah cip keempat di dunia yang dihasilkan menggunakan teknologi 7nm. Peranti ini dilengkapi sistem empat kamera utama yang menarik. Ini meletakkannya sebagai peranti di dalam kelas yang sama seperti Xiaomi Mi 9T dan Samsung Galaxy A80. Mari lihat perbandingan di antara tiga peranti kelas pertengahan tinggi ini. Artikel dikemaskini dengan harga jualan Galaxy A80 di Malaysia.

Viewing all 30186 articles
Browse latest View live