Quantcast
Channel: Videos - Amanz
Viewing all 30186 articles
Browse latest View live

Puffin OS Menjanjikan Kemampuan Memproses Yang Tinggi Walaupun Pada Peranti Mampu Milik

$
0
0

Bagi menjalankan aplikasi dengan pantas, pemproses yang berkuasa diperlukan dan ini memerlukan pengguna membeli peranti mercu. Peranti yang dijual pada harga mampu milik pula mempunyai masalah menjalan permua terkini dengan lancar. Tetapi CloudMosa berkata sistem operasi Puffin OS mereka akan membuatkan peranti mempunyai kemampuan memproses yang jauh lebih tinggi berbanding peranti Android yang dijual pada harga bawah $100.

Puffin OS adalah sistem operasi berasaskan Android tetapi melakukan kesemua tugasan pemproses secara awanan. Pelayan Puffin OS akan menjalan kesemua tugas memproses yang kemudian distrim terus kepada peranti. Kerana kesemua tugas memproses dilakukan di awaman, peranti tidak memerlukan cip pemproses terkini, saiz storan besar dan memori yang tinggi untuk menikmati kelancaran seakan peranti yang mempunyai spesifikasi lebih tinggi.

Syarikat CloudMosa yang membangunkan Puffin OS sebelum ini membangunkan pelayar web Puffin Brower. Mereka akan mengumpul dana untuk sistem operasi ini menerusi laman biayasama Kickstarter dalam masa terdekat.


D-Link Bersetuju Dikenakan Audit Selama 10 Tahun Oleh Pihak FTC Selepas Pelbagai Isu Kerentanan Sekuriti Pengguna

$
0
0

D-Link ialah sebuah syarikat yang dikenali untuk peranti rangkaian WiFi rumah dan pejabat mereka. Syarikat-syarikat pembekal Internet seperti TM, Maxis dan Time sebelum ini menggunakan jenama tersebut untuk penghala WiFi percuma mereka sebelum ini.

Semua itu berubah apabila banyak penghala-penghala D-Link didapati mempunyai isu-isu sekuriti kritikal yang membolehkan penggodam bukan sahaja memasuki rangkaian-rangkaian ini dengan mudah, tetapi membolehkan mereka mencuri maklumat peribadi para pengguna didalam rangkaian tersebut.

Oleh kerana isu-isu ini, D-Link disaman di mahkamah Amerika Syarikat oleh pihak Federal Trade Commission (FTC), dimana baru-baru ini mereka dikatakan telah menyelesaikan kes tersebut dengan bersetuju untuk dikenakan audit selama 10 tahun untuk memastikan bahawa perkakasan rangkaian mereka tidak lagi dibelenggu isu-isu sekuriti.

Pihak FTC juga mengesahkan bahawa mereka menyaman D-Link kerana kerentanan sekuriti beberapa peranti mereka, termasuklah kamera litar tertutup mereka, dimana ia didapati bahawa kata laluan semua peranti tersebut disulitkan menggunakan kata laluan yang sama yang tidak boleh ditukar.

Bukan itu sahaja, aplikasi mudah-alih penghala WiFi D-Link juga didapati menyimpan kata laluan menggunakan teks biasa yang mudah dikesan oleh penggodam.

Oppo Mendaftar Tanda Dagang ‘Enco’– Mungkin Peranti Siri Baharu?

$
0
0

Oppo adalah salah satu syarikat di bawah naungan BBK Electronics, yang sama dengan OnePlus dan Vivo. Seperti banyak peranti dari China lain, Oppo juga mempunyai sub-jenama dan banyak siri-siri tertentu untuk peranti-peranti mereka. Antara yang terbaru adalah Reno yang menggantikan siri Oppo R.

Terkini, Oppo dilihat telah mendaftar tanda dagang ‘Enco‘ di laman European Union Intellectual Property Office (EUIPO). Menurut ura-ura ia adalah nama untuk siri baharu peranti mereka. Tetapi, masih tiada butiran lagi buat nama ‘Enco’ ini – sama ada peranti kelas pertengahan atau peranti mercu. Mungkin juga ia adalah nama untuk peranti boleh lipat mereka?

Masih awal lagi untuk kita rungkai buat Oppo Enco ini. Tidak mustahil, yang kita akan mendengarnya dalam tahun ini juga. Sama-sama kita nantikan.

Rasmi – ASUS ROG Phone 2 Akan Dilancarkan Pada 23 Julai

$
0
0

Sebelum ini kami melaporkan Asus ROG Phone 2 mungkin akan dilancarkan pada 23 Julai hadapan. Pihak ASUS akhirnya secara rasmi mengesahkan peranti khusus untuk permua ini akan dilancarkan pada tarikh tersebut menerusi laman Weibo mereka.

 

ASUS ROG Phone 2 dilaporkan dilengkapi skrin dengan kadar segar semula 120Hz, dijana cip Snapdragon 855, memori sehingga 12GB RAM, dan storan berasaskan UFS. Seperti ROG Phone asal, versi kemas kini akan mengekalkan sistem berlampu, penyejukan menggunakan cecair, pengecasan pantas 30W dan sokongan pelbagai aksesori tambahan

Dalam imej yang dikongsi terdapat logo Tencent Games. Besar kemungkinan permua yang direka khusus untuk peranti ini akan dilancarkan secara eksklusif.

Aplikasi Google Camera 6.3 Akan Menyokong Rakaman Video Mandir Dan Bantuan Mengambil Swafoto

$
0
0

Baru-baru ini, Android Q Beta 5 dilihat telah tertiris awal di Internet dari tarikh asal yang Google rancangkan. Dalam Android Q Beta 5 ini, Google dilihat telah menambah lagi fungsi menggunakan kawalan gestur dan juga kemampuan merakam audio dari aplikasi. Selain daripada itu, aplikasi Google Camera juga telah dikemaskini kepada versi 6.3 – yang meletakkan ‘Night Sight’ kepada antaramuka utama aplikasi kamera.

Terkini, pihak 9to5Google telah menemui dua fungsi baharu dalam Google Camera 6.3 yang masih belum diaktifkan. Melalui kod dalam aplikasi ini, ia memperlihatkan kewujudan fungsi rakaman video mandir (rewind) yang diberi nama ‘McFly‘.

<string name=”mode_rewind”>McFly</string>

<string name=”mode_rewind_desc”>Switch to McFly mode</string>

Kemudian, turut kelihatan adalah kehadiran fungsi yang boleh membantu pengguna mengambil gambar swafoto yang lebih baik. Google juga turut telah menambah sokongan Pixel 4 untuk aplikasi ini.

<string name=”selfie_angle_description”>Research shows that selfies are best taken from above, with the camera pointed downwards.</string>

<string name=”selfie_angle_message”>Raise camera for a better angle</string>

Walau bagaimanapun, nama McFly ini hanyalah nama sementara dan nama akhir mungkin akan diubah. Misalnya, sebelum Google meletakkan fungsi ‘Timelapse’ – nama asalnya adalah ‘Cheetah mode’. Fungsi ‘McFly’ ini berkemungkinan besar adalah fungsi yang sama dengan mod rakaman gerak pantas, cuma ia akan dirakam secara mandir – seperti dalam aplikasi Instagram.

Bagi yang ingin mencuba Google Camera 6.3, anda boleh muat turun fail APK di APKMirror – namun anda hanya akan lihat fungsi ‘Night Sight’ sudah berada di hadapan dan tidak lagi di dalam ‘More’. Fungsi-fungsi lain masih belum aktif lagi buat masa ini.

Muat Turun Google Camera 6.3 Di Sini

macOS Catalina Beta 3 Menyertakan Imej Penyelamat Skrin Baru – Dikenali Sebagai ‘Drift’

$
0
0

Apple sering menawarkan gambar latar baru pada Apple TV, namun kurang memberi penekanan pada macOS. Bermula macOS Catalina Beta 3, Apple telah menyertakan screen saver baru yang dikenali sebagai ‘Drift’.

Perkara ini dijumpai oleh salah seorang pengguna beta macOS di Twitter, yang mana memperlihatkan imej penyelamat skrin dengan kesan animasi. Dengan kehadiran screen saver baru ini, ia telah menggenapkan pilihan screen saver pada macOS ini menjadi 20 buah, berbanding 19 sahaja pada sebelum ini.

Melalui screensaver Drift ini, ia menyajikan paparan seumpama bentuk rumpai laut, dengan kemasan warna dalam bentuk warna-warni. Ia juga boleh ditetapkan dalam pilihan warna “Space Gray”, “Silver”, dan “Spectrum”, untuk memberi lebih pilihan kepada pengguna.

Fungsi screen saver ini walaupun tidak lagi menyelamatkan skrin seperti zaman paparan monokrom, ia masih memberi paparan yang menarik ketika Mac dibiarkan secara seketika. Ia boleh diakses melalui halaman System Preferences > Desktop & Screensaver > Screen Saver.

Fon Telinga Nirwayar Sony WF-1000XM3 Dilancarkan Dengan Pembatalan Hingar Aktif Dan Bateri 24 Jam

$
0
0

Fon kepala nirwayar paling menarik di pasaran sekarang ialah Sony WH-1000XM3 yang dilengkapi sistem pembatalan hingar aktif terbaik di pasaran dan sokongan pembantu maya. Bagi mereka yang lebih meminati rekaan fon telinga nirwayar, Sony WF-1000XM3 telah dilancarkan hari ini dengan fungsi setanding dengan WH-1000XM3.

Ia dilengkapi cip pembatalan hingar baharu QN1e yang menambah baik kemampuan yang ditemui pada QN1 pada WH-1000XM3.  Ini membolehkan hingar ditapis dari telinga pengguna tetapi masih memberikan kualiti audio yang baik. Terdapat pada sesentuh pada sisi fon telinga untuk kawalan pemain. Dengan sekali sentuh, mod Ambience boleh diaktifkan bagi membolehkan pemakai mendengar bunyi sekeliling. Sentuhan pada fon telinga bertentangan pula akan melancarkan pembantu maya pada peranti pintar pengguna.

Sony turut menyertakan cip khusus yang menstrim audio terus ke kedua-dua fon telinga WF-1000XM3 secara serentak. Fon telinga nirwayar lain di pasaran menstrim audio ke satu fon telinga yang kemudian memancarkan semula audio ke pasangannya.

Dengan sekali caj WF-1000XM3 boleh berfungsi selama 6 jam. Dengan pod pengecas, masa penggunaan sehingga 24 jam boleh dinikmati. Pengecasan selama 10 minit sahaja memberikan waktu operasi sehingga 90 minit dan dilakukan menerusi port USB-C. Akhir sekali kedua-dua fon telinga disimpan secara magnetik di dalam pod pengecas yang disertakan. Sony WF-1000XM3 dijual pada harga RM 949 bermula Ogos ini di Malaysia dengan pilihan warna hitam dan perak platinum.

‘Future Mobility Challenge’ Sasar Penglibatan Startup Untuk Menyumbangkan Idea Bagi Sektor Automotif

$
0
0

The Society of Motor Manufacturers and Traders (SMMT) telah mengadakan program untuk startup dan pengusaha perniagaan kecil sederhana (PKS) untuk turut serta dalam program Future Mobility Challenge. Melalui platform ini, para peserta akan melaksanakan penghasilan idea dan penyelesaian inovatif pada industri untuk menangani lapan cabaran mobiliti utama pada masa depan.

Untuk makluman anda, SMMT adalah salah satu pengiat industri automotif yang kian meningkat naik. SMMT adalah pengantara bagi industri automotif UK yang menyokong dan mempromosikan kepentingan ahli, di dalam mahupun luar negara. SMMT mewakili lebih daripada 800 syarikat automotif di UK, menyediakan platform forum untuk menyuarakan pendapat syarikat mengenai isu-isu yang mempengaruhi sektor ini. Selain itu, ia turut membantu untuk membimbing strategi dan membina hubungan positif antara pihak kepentingan dengan kerajaan.

Inisiatif platform ini juga menawarkan perkongsian kelas kemahiran, aliran permintaan pasaran dan pandangan pengguna berkenaan sumber teknikal pemasaran yang berasaskan pasaran tempatan. Anda juga akan mendapat pelbagai manfaat daripada platform ini untuk membina produk atau perkhidmatan industri.

Penyelesaian dan idea terbaik akan disenarai pendek dan bakal ditayangkan secara langsung di London pada 17 Oktober ini. Sekiranya anda berminat, bolehlah memohon sebelum 12 Julai ini dengan melayari pada pautan di bawah.

Layari: The Society of Motor Manufacturers and Traders SMMT


Kementerian Pendidikan Malaysia Menyangkal Dakwaan YTL Mengenai Penamatan Kontrak 1BestariNet

$
0
0

Dua hari lalu, kami telah melaporkan bahawa syarikat YTL berasa kesal akan penamatan kontrak 1BestariNet, dimana Kementerian Pendidikan dilihat ingin menggantikan pelantar pembelajaran FrogVLE dengan Google Classroom.

Bukan itu sahaja, pihak YTL juga dinyahsenaraikan sebagai salah satu daripada syarikat telekomunikasi yang akan membekalkan sambungan internet kepada 10,000 sekolah rendah tempatan dibawah projek 1BestariNet tersebut.

Terkini, pihak Kementerian Pendidikan, melalui Ketua Setiausahanya Datuk Mohd Gazali Abas telah menyangkal dakwaan bahawa kementerian tersebut telah menamatkan kontrak tersebut lebih awal dari yang sepatutnya.

Menurut beliau, kontrak Kementerian Pendidikan dengan YTL telah tamat pada 30 Jun 2019, dan pihak kementerian sedang mengkaji cara terbaik untuk mengeluarkan tender untuk projek sekolah digital tersebut.

Dalam pada itu, Datuk Mohd. Gazali Abas juga mengesahkan bahawa mereka telah menerima surat daripada YTL mengenai pembekalan sambungan internet percuma sehingga penghujung tahun ini.

Ia dikatakan bahawa Kementerian Pendidikan menolak tawaran tersebut kerana terdapat kos-kos tersorok dimana pihak YTL meminta kos elektrik ditolak, disamping meminta pembayaran sewa untuk penggunaan menara-menara telekomunikasi YTL.

Tanpa yuran sewa tapak tersebut, kerajaan akan kehilangan pendapatan sebanyak kira-kira RM32.5 juta sepanjang enam bulan tersebut.

Malah, sejak permulaan projek 1BestariNet tersebut, Datuk Mohd. Gazali Abas mengatakan YTL tidak pernah membayar bil elektrik untuk menara-menara tersebut, dan apabila dimasukkan kedalam kos keseluruha, kerugian kepada kerajaan akan menjangkau RM40 juta.

Memburukkan keadaan lagi untuk YTL, ketua setiausaha tersebut juga mengatakan bahawa perkhidmatan Internet yang dibekalkan ke sekolah-sekolah ini tidak memuaskan, kerana ramai guru-guru dan para pelajar yang mengadu bahawa ianya terlalu perlahan untuk digunakan bersama-sama pelantar pembelajaran FrogVLE tersebut.

Glorious Model O Ialah Tetikus Untuk Permainan Video Paling Ringan Di Dunia

$
0
0

Terdapat pelbagai gimik digunakan pengeluar untuk menjual peranti. Ayat paling nipis, paling berkuasa dan paling pantas adalah antara yang kerap didengari. Glorious Model O ialah tetikus yang baru sahaja dilancarkan dengan status sebagai yang paling ringan di dunia. Ia hanya seberat 67 gram. Sebagai perbandingan tetikus permainan video popular Razer DeathAdder Elite adalah seberat 105 gram.

Bagi membolehkan ia menjadi tetikus paling ringan di dunia, tubuh Model O ditebuk dengan puluhan lubang berbentuk heksagon. Ia dilengkapi sensor dengan keperincian 120,000 DPI, mengesan pecutan sehingga 50G dan kelajuan sehingga 250 inci setiap saat. Suis mekanikal Omron digunakan untuk butang klik yang diuji sehingga 20 juta tekanan. Turut disertakan ialah sistem lampu RGB yang boleh memaparkan 16.8 juta warna. Tetikus Glorious Model O  dijual pada harga $50 (~RM 206) sebuah.

Google Pixel 4 Mungkin Akan Menyertakan Kamera Telefoto Untuk Kebolehan Zoom Optikal

$
0
0

Google pada sebelum ini telah berkongsi sedikit rekaan Pixel 4, yang mana memperlihatkan rekaan kamera dalam bentuk petak. Ia dijangka akan menyertakan kebolehan tri-kamera, dan salah satunya kamera ini mungkin akan menggalas fungsi telefoto.

Perkara ini dilaporkan oleh laman XDA-Developers melalui kod yang tersembunyi di dalam versi Google Camera terkini. Kod ini menyatakan ia bakal diintegrasikan pada Super Res Zoom, sekaligus menambah baik kebolehan ini melalui penggunaan sensor telefoto sebenar.

Walaupun Pixel sedia menawarkan kebolehan zoom melalui perisian, kualitinya masih tidak sebaik melalui penggunaan perkakasan fizikal. Dengan persaingan yang sering mengutamakan kebolehan zoom, Google dijangka dapat membawa keupayaan ini dengan lebih ke hadapan, melalui teknologi perisian yang hebat daripada mereka.

Seperti sebelum ini, Google bakal memperkenalkan Pixel 4 pada sebuah acara khas yang bakal berlangsung pada pertengahan Oktober. Ia bakal dijana dengan spesifikasi berkuasa seperti kehadiran cip Snapdragon 855 bersama penyertaan paparan berasaskan AMOLED.

Sebuah Peranti Prototaip Nokia Tertiris – Memperlihatkan Keupayaan Kamera Utama 48MP

$
0
0

HMD pada tahun ini dilihat agak aktif dalam menawarkan sejumlah peranti baru, tidak kira untuk segmen peranti bajet hingga ke segmen berkuasa. Mereka nampaknya sedang membangunkan peranti misteri, yang mana beberapa gambarnya telah tertiris ke arena web.

Melalui gambar yang dikongsikan oleh seorang pengguna di Weibo, binaan belakang peranti ini menampilkan bahagian kamera membulat, yang mana menyajikan tiga perletakkan sensor kamera bersama pencahayaan LED flash. Bahagian ini juga menampilkan binaan berasakan kaca, bersama pengimbas cap jari di bawah kamera.

Pada bahagian hadapan, ia menampilkan rekaan skrin bertakuk seumpama titisan air, bersama penjenamaan Nokia di bahagian bawah. Di bawahnya ia menyertakan sambungan berasaskan USB-C, bersama perletakkan bicu audio 3.5mm pada bahagian atas. Ia turut dilihat dijana dengan Android 9.0 Pie dengan penggunaan cip pemprosesan daripada Qualcomm.

Peranti ini masih tidak diketahui sama ada bakal menjadi produk akhir atau hanya sekadar prototaip. Namun sekiranya ia berjaya menjadi produk untuk pengguna, peranti ini akan menjadi peranti Nokia-HMD kedua yang menyertakan keupayaan kamera 48MP.

Mozilla Membuat Bancian Penawaran Perkhidmatan Langganan Berbayar Untuk Membaca Berita Bebas-Iklan

$
0
0

Pada hari ini, terdapat sejumlah kaedah untuk melayari sesuatu laman web secara bebas iklan. Walaubagaimanapun, ia tidak begitu menguntungkan para penerbit kandungan yang sering bergantung kepada pengiklanan untuk menjana pendapatan.

Mozilla sendiri menyertakan beberapa kaedah untuk menghalang paparan iklan yang menganggu, dan kini dalam usaha membantu penerbit kandungan, Mozilla turut bereksperimen dengan penawaran perkhidmatan langganan berbayar.

Firefox Bayar

Daripada laman bancian khas yang disediakan, Mozilla dilihat ingin membolehkan pengguna membuat sedikit bayaran dan mengakses kandungan daripada laman-laman rakan kerjasama mereka tanpa sebarang pengiklanan.

Ini sekaligus menguntungkan bukan sahaja pengguna, tetapi juga penerbit kandungan. Melalui laman bancian berkenaan, Mozilla memperlihatkan ia mungkin membawa kos langganan bulanan $4.99.

Mozilla sebelum ini telah mengumumkan kerjasama dengan pihak Scroll.com, dan mungkin ini adalah bancian awal pihak Mozilla sebelum hadir dengan penawaran mereka tidak lama lagi. Buat masa ini, sejumlah penerbit telah sedia bekerjasama dengan pihak Scroll.com, termasuk Vox Media, Buzzfeed dan sebagainya.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah pihak Mozilla akan memperkenalkan perkhidmatan langganan berbayar mereka ini.

Penggodam Dijatuhkan Hukuman Penjara 27 Bulan Kerana Serangan DDOS Ke Atas Steam Dan PlayStation Network

$
0
0

Permainan video sekarang boleh dinikmati bersama rakan walaupun mereka tidak duduk di sebelah anda. Dengan perkhidmatan seperti PlayStation Network dan Xbox, anda masih boleh melakukan misi bersama teman baik di dalam permainan Striking Vipers di atas talian. Tetapi pada bulan Disember 2013 hingga Januari 2015, beberapa perkhidmatan atas talian permainan video mengalami gangguan perkhidmatan kerana serangan DDOS.

Antara perkhidmatan yang mengalami serangan DDOS DerpTrolling adalah Sony PlayStation Network, Valve Steam, Microsoft Xbox, EA, Riot Games, Nintendo, Guild Wars, Quake Live, DOTA2, World of Tanks dan League of Legends. Beliau baru sahaja dijatuhkan hukuman penjara 27 bulan selepas disabitkan kesalahan oleh mahkamah di San Diego. DerpTrolling atau nama sebenar beliau Austin Thompson mengaku melakukan serangan kerana sebagai jenaka dan meminta pengikut media sosial beliau memberikan cadangan perkhidmatan atas talian manakah perlu diserang.

Beliau memulakan trend serangan ke atas perkhidmatan permainan video ketika musim bercuti yang turut dilakukan oleh kumpulan penggodam lain seperti Lizard Squad. Selain menjalani hukuman penjara DerpTrolling juga perlu membayar ganti rugi ke atas Sony Online Entertainment atas gangguan yang disebabkan oleh serangan tersebut. Beliau akan memulakan hukuman penjara pada 27 Ogos hadapan.

Samsung Galaxy A80 Edisi Terhad Blackpink Ditawarkan Di Thailand

$
0
0

Blackpink di kawasan anda! Bagi peminat muzik pop Korea, adalah mustahil untuk tidak pernah mendengar nama kumpulan Blackpink. Kumpulan yang dianggotai empat gadis genit ini terkenal di seluruh dunia dan melakukan persembahan khas ketika pelancaran Samsung Galaxy A80 di Thailand bulan Mei lalu. Di Thailand, Samsung Galaxy A80 Blackpink Exclusive Boxset telah ditawarkan.

Pakej terhad ini hadir dengan Galaxy A80 dalam waran hitam dan merah jambu lengkap dengan logo kumpulan Blackpink di bahagian belakang. Turut ditawarkan sekali ialah seutas Galaxy Watch Active dan Galaxy Watch dalam warna hitam merah jambu yang berpadanan dengan telefon pintar. Sebuah dermaga pengecas khas, empat keping gambar ahli kumpulan dan kerangka telefon turut disertakan. Pada bahagian dalam kerangka terdapat autograf dari ahli kumpulan.

Di Thailand Samsung Galaxy A80 Blackpink Exclusive Boxset dijual pada harga 32,990 THB (~RM 4433). Di Malaysia pihak Samsung masih belum melakukan pengumuman sama ada versi ini akan ditawarkan kepada peminat. Namun begitu kedai atas talian ESH Electrical tempatan ada mula membuka pra-tempah Samsung Galaxy A80 Blackpink Special Edition yang hadir dengan Galaxy Fit, pengecas, gambar dan kerangka. Namun begitu peranti hanya hadir dalam warna merah jambu sahaja.

Sumber Samsung Thailand menerusi LowYat,net


Siri Kad Grafik AMD Radeon 5700 Akan Tiba Di Pasaran Malaysia Esok – Bermula Pada Harga RM1659

$
0
0

Siri kad grafik terbaru daripada AMD. iaitu AMD Radeon 5700, yang terdiri daripada kad grafik AMD Radeon 5700 dan AMD Radeon 5700 XT nampaknya akan mula dijual di pasaran tempatan seawal hari esok, selari dengan tarikh pelancaran global mereka, iaitu pada 7 Julai 2019.

Siri kad grafik tersebut, yang menggunakan cip pemprosesan grafik Navi yang dibina melalui proses 7nm terbaru mereka direka khusus untuk menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi 1440p dengan tetapan yang tinggi.

 

Perbezaan kad-kad grafik ini dapat dilihat dari segi bilangan unit perkomputeran (Compute Unit), pemproses strim dan kelajuan GPU. Dari segi memori pula, kedua-dua kad grafik ini hadir dengan memori GDDR6 sebanyak 8GB.

AMD telah memperlihatkan penurunan tanda harga global selepas siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX Super dilancarkan, dan ini adalah tanda-tanda harga terbaru yang dikeluarkan oleh AMD Malaysia:

  • AMD Radeon 5700XT : RM1859
  • AMD Radeon 5700 : RM1659

Pada pendapat kami, tanda harga kad grafik ini sangat kompetitif jika dibandingkan dengan kad-kad grafik terbaru keluaran NVIDIA.

Jika anda sedang menunggu untuk membina komputer gaming yang baru, ini adalah masa yang sangat baik sekali untuk anda mula membeli-belah untuk komponen-komponen seperti ini.

Di Jepun Kereta Mula Disewa Untuk Tujuan Lain Dan Langsung Tidak Dipandu

$
0
0

Pemilikan kereta di Jepun adalah agak tinggi iaitu sekitar 70% kerana harga jualanya yang agak murah. Tetapi di kawasan bandar seperti Tokyo, pemilikan kereta adalah sekitar 50% kerana kos yang tinggi dan pengangkutan awam efisien. Jika kereta diperlukan, terdapat banyak perkhidmatan menyewa kenderaan boleh digunakan. Tetapi menurut laporan Asahi Shinbun, semakin ramai pelanggan menyewa kereta tetapi kenderaan langsung tidak dipandu.

Syarikat sewaan menyedari kenderaan yang disewa langsung tidak bergerak dari kawasan parkir. Kaji selidik dilakukan oleh dua syarikat menerima jawapan yang agak mengejutkan dari responden. Kereta disewa sebagai tempat tidur kerana kepenatan, mengecas telefon pintar. tempat makan dan melakukan panggilan telefon.

Ini adalah lebih murah untuk menyewa kereta berbanding kemudahan laun. Bayaran menyewa bermula dari 400 Yen (~RM 15) untuk setiap 30 minit. Responden berkata tidur di dalam kereta sewa adalah lebih murah dan mudah berbanding menyewa bilik hotel. Kereta juga sesuai digunakan untuk melakukan panggilan telefon. Di Jepun melakukan panggilan telefon di dalam kereta api dan kawasan awam dianggap sebagai kurang sopan. Tambah menarik ada yang sanggup menyewa kereta kerana gagal mencari tempah untuk menjamah makanan yang dibeli.

Trend menyewa kereta tetapi tidak dipandu semakin meningkat. Ia boleh dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar dan beroperasi 24 jam. Syarikat menyewa risau ini akan mendatangkan kerugian kepada mereka kerana keuntungan bergantung kepada tempoh sewaan.

Xiaomi Tidak Sengaja Menggunakan Iklan Apple Untuk Mempromosikan Mimoji

$
0
0

Xiaomi Mimoji adalah fungsi mencipta avatar 3D daripada Xiaomi. Fungsi ini boleh dikatakan adalah klon daripada Memoji dari Apple. Pertama kali Mimoji diperkenalkan adalah pada peranti Xiaomi Mi 8, yang mana kemudiannya boleh diuji kepada hampir semua peranti Android.

Banyak isu yang hadir sejak siri Xiaomi CC diperkenalkan berkait dengan Mimoji dan Apple. Sehinggakan terdapat laporan yang Xiaomi ingin mengambil tindakan terhadap mereka yang menuduh Mimoji adalah klon kepada produk Apple. Terkini, Xiaomi secara tidak sengaja menggunakan iklan Apple untuk mempromosikan Mimoji.

Perkara ini ditemui oleh pengguna Weibo Lukalio Luka, yang mana iklan-iklan di laman membeli-belah JD, Suning dan juga grafik rasmi Xiaomi Mimoji – menggunakan iklan Apple termasuk video muzik ‘Talk‘ yang dinyanyikan oleh Khalid dalam bentuk Memoji. Menurut wakil Xiaomi – Xu Jieyun, pekerja Xiaomi secara tidak sengaja memuat naik fail media yang salah.

Akan tetapi, ini bukannya kali pertama Xiaomi atau pengeluar peranti Android meniru hasil kerja Apple. Cuma pada saya, dengan menggunakan iklan Apple dan bukannya iklan sendiri agak melampau. Apakah pendapat anda?

CEO Huawei Mendakwa Yang Hongmeng OS Adalah Lebih Pantas Dari MacOS

$
0
0

Hongmeng OS atau ArkOS adalah sistem operasi baharu tersendiri dari Huawei. Sistem operasi ini dikatakan adalah pengganti kepada Android, Windows dan juga sistem operasi untuk peranti boleh pakai mereka. Menurut laporan, sistem operasi ini dikatakan adalah 60% lebih pantas berbanding Android.

Terkini CEO Huawei – Ren Zhengfei, mendakwa yang Hongmeng OS bukan sahaja lebih pantas daripada Android. Tetapi ia juga dikatakan adalah lebih pantas daripada MacOS. Sistem operasi mereka ini mempunyai sela masa memproses kurang dari 5 milisaat.

Dengan ‘pusingan-u‘ yang dilakukan oleh Donald Trump terhadap halangan Huawei untuk berurus niaga dengan syarikat dari Amerika Syarikat, tidak pasti lagi jika sistem operasi Hongmeng OS ini akan diteruskan atau tidak. Tanda dagang sudah pun mereka daftar, termasuk di Malaysia. Ada kemungkinan kita tetap akan lihat kewujudan peranti yang didakwa mempunyai sistem operasi terpantas ini. Sama-sama kita nantikan.

CEO Honor Mengacah Honor Band 5 – Mampu Membaca Nilai Tekanan Oksigen Dalam Darah

$
0
0

Honor Band adalah jawapan bagi Honor terhadap Xiaomi Mi Band. Ia hadir dengan ciri dan fungsi yang lebih kurang sama dan juga menggunakan rekaan yang ringkas. Walau bagaimanapun, dari apa yang saya lihat – lebih ramai gemarkan Mi Band.

Terkini CEO Honor telah mengacah Honor Band 5. Ia hadir dengan skrin berwarna dan satu fungsi yang tiada dalam Mi Band. Fungsi ini adalah kemampuan membaca nilai tekanan oksigen dalam darah. Menurut beliau, ia adalah satu fungsi yang penting. Ini kerana tahap tekanan oksigen dalam darah yang rendah boleh menyebabkan pening, keletihan, kelesuan, tidur tidak lena dan banyak lagi.

Tahun lepas, Honor Band 4 dilancarkan bersama-sama dengan Honor 8X. Berkemungkinan besar yang Honor Band 5 akan dilancarkan bersama dengan Honor 9X tidak lama lagi. Dengan fungsi menarik ini, adakah anda akan memilih Honor Band 5 berbanding Mi Band 4?

Viewing all 30186 articles
Browse latest View live